SARIKEI: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara serta perlu terus dipupuk sebagai pewaris kepimpinan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika menutup Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 2 di Rumah Panjang Kanyan, Nyalak Ladong, Pakan.
Abdul Karim berkata belia perlu diberi ruang berfikir secara bebas, progresif dan berwawasan agar mampu melahirkan generasi yang dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan negeri dan negara.
“Jika kita mahu melihat bagaimana keadaan negara atau negeri pada masa akan datang, lihatlah pada keadaan belia hari ini,” katanya.
Beliau menyatakan teruja apabila melihat belia-belia begitu peka dengan isu semasa termasuk berkaitan sosial, kepimpinan dan masa depan negara.
Abdul Karim turut memuji penganjuran program berkenaan yang berjaya menyatukan belia daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira fahaman politik atau kaum.
“Program sebegini dapat merapatkan hubungan antara kementerian pusat, kementerian negeri, agensi berkaitan dan belia sendiri,” ujarnya.
Beliau menekankan kepentingan berkongsi aspirasi serta mendengar pandangan belia secara langsung.
Program Kembara JOM 2.0 Zon Borneo 2 anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu menghimpunkan belia dari Pakan, Julau serta kawasan sekitar.
Program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti berbentuk dialog, sesi dialog awam dan perkongsian aspirasi belia.
Abdul Karim turut menyuarakan harapan agar program seumpama itu diadakan di kawasan-kawasan lain di Sarawak.
Beliau menegaskan kementeriannya sentiasa komited memberi sokongan serta kerjasama terhadap penganjuran program sedemikian pada masa akan datang.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu.
Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien juga hadir dalam program penutupan tersebut. – Bernama