• 2025-07-04 02:24 PM

JOHOR BAHRU: Satu sindiket dikesan menjadikan apartment mewah yang disewa di bandar raya ini sebagai pusat memproses dadah serta ‘pusat hiburan rahsia’ dengan bilik diubah suai menjadi tempat untuk berkaraoke sambil mengedar dadah kepada pelanggan.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata dalam serbuan pada kira-kira 6.30 pagi 25 Jun lepas itu, pihaknya mengenal pasti bilik di tiga apartmen dalam blok sama digunakan sebagai lokasi untuk menggalakkan pelanggan termasuk ejen dadah berhibur sambil mendapatkan bekalan dadah.

Beliau berkata hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ekstasi dan ketamin bernilai RM1.72 juta selain menyita kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM190,205.

“Risikan mula dijalankan sejak awal tahun ini. Kumpulan ini disyaki didalangi warga tempatan dan mula aktif sekitar Mac 2025. Mereka beroperasi dalam skala kecil dengan modus operandi menjadikan apartment berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kumar berkata menerusi serbuan itu juga pihaknya menahan sembilan individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga Singapura, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Laos berusia antara 21 hingga 64 tahun.

Hasil ujian awal mendapati kesemua suspek positif methamphetamine manakala empat daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain termasuk warga Singapura berusia 64 tahun tersebut yang turut dikehendaki pihak berkuasa di negara itu atas kes dadah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan kesemua suspek kini direman hingga esok bagi membantu siasatan.