KUALA KRAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menangkap seekor ular sawa batik dianggarkan sepanjang tujuh meter dan seberat 240 kilogram (kg) selepas membaham seekor ibu dan dua anak kambing milik penduduk Kampung Ngangah di sini pada hari Ahad (Okt 27).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak mengenai kejadian itu pada pukul 7.15 pagi Ahad memaklumkan reptilia itu berada di dalam kandang kambing di tepi rumah miliknya dan telah menelan ibu serta dua anak kambing terbabit.

“Sebaik menerima laporan, tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Guchil dan tujuh anggota BBP Kuala Krai dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap haiwan itu yang kekenyangan kerana menelan ibu serta dua anak kambing,“ katanya ketika dihubungi Bernama pada hari Ahad.

Beliau berkata ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Krai untuk tindakan lanjut.