JERTIH: Seorang buruh binaan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan sebuah lori tanah di jalan Lata Belatan dekat Kampung Kuala Kubang, Jabi dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian pada 3.30 petang itu berlaku apabila mangsa Muhammad Haziq Afiq Mohd Aluwi, 20, yang memandu Ford Ranger dari arah Lata Belatan ke pekan Jabi bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati lori Hino dipandu Mohamad Nazri Kamarudin, 30, dari arah tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Kuala Kubang menghala ke Lata Belatan.

“Semasa lori itu melalui selekoh, ia telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan Muhammad Haziq Afiq menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media malam tadi.

Mangsa yang beralamat di Kampung Gong Duek, Hulu Besut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Mohamad Nazri tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Rozak berkata mayat dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.