KUALA TERENGGANU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengintai seorang usahawan wanita di dalam bilik mandi dan menceroboh sebuah premis tempat tinggal minggu lepas.
Ahmad Farhan Rizal Abdullah yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noor Mazrini Mahmood.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa di Manir pada 12.30 tengah malam 26 Ogos.
Kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan berada di dalam kawasan premis yang digunakan sebagai tempat tinggal pada hari dan lokasi yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin enam ribu ringgit dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Azli Mohd Noor dalam kenyataan berkata mangsa dan suaminya berasal dari Ampang, Selangor dan telah menyewa inap desa terbabit selama empat hari bermula 25 Ogos.
Mangsa dan suaminya bercuti dan menjalankan penggambaran iklan baju Melayu di lokasi berkenaan.
Ketika sedang mandi, mangsa melihat kelibat seorang lelaki pada cermin tingkap sambil memegang telefon bimbit.
Di kamar Mahkamah Majistret berasingan, Ahmad Farhan Rizal dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya sembilan tahun lepas.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 12.15 tengah malam 11 April 2016.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap iaitu 27 Ogos dan lelaki itu dikenakan pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan selama dua tahun.
Pendakwaan bagi kes dadah dikendalikan pegawai pendakwa daripada Polis Diraja Malaysia manakala tertuduh diwakili peguam Nur Jawahir Mohd Zulmajdi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – Bernama