• 2025-10-13 04:41 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang buruh kerana mengedar dadah methamphetamine yang ditemui dalam kereta yang dipandunya lima tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Lim Chong Fong, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohd Jurib Mohamad Naib berusia 46 tahun.

Hakim Lim ketika menyampaikan keputusan sebulat suara berkata tiada alasan untuk Mahkamah Rayuan campur tangan dalam keputusan mahkamah terdahulu.

Beliau berkata perayu menafikan mempunyai akses terhadap dadah yang ditemui dalam kenderaan tersebut namun saksi pendakwaan ke-10 iaitu adik lelaki perayu menyatakan kereta itu berada dalam pemilikan dan digunakan oleh perayu.

Hakim Lim berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati responden telah berjaya membuktikan perayu mempunyai milikan dan kawalan ke atas dadah yang dirampas.

“Oleh itu mahkamah ini mendapati sabitan adalah selamat dan rayuan perayu ditolak,” katanya.

Mohd Jurib dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 177.51 gram.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan lampu isyarat Tawar menghala ke Kuala Ketil Baling Kedah pada 4 petang 14 April 2020 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili perayu berhujah bukan hanya anak guamnya mempunyai akses ke atas kenderaan itu.

Beliau menyatakan kenderaan tersebut didaftarkan atas nama adik lelakinya dan oleh itu perayu tidak mempunyai kawalan dan jagaan terhadap dadah yang dirampas.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini pula berhujah perayu mempunyai jagaan dan kawalan terhadap kereta dan dadah berkenaan.

Beliau berkata dadah dijumpai daripada pelbagai bahagian di dalam kenderaan itu dan perayu ditahan bersendirian ketika kejadian.

“Keterangan adik perayu secara jelas dan konsisten menyatakan kereta tersebut hanya didaftarkan di atas nama beliau namun bayaran dan penggunaan sepenuhnya ke atas kereta tersebut adalah oleh perayu memandangkan perayu telah disenarai hitam.

“Saksi pendakwaan ke-10 menegaskan beliau tidak pernah menggunakan kereta itu walaupun ia didaftarkan di atas namanya.

“Keterangan daripada saksi pendakwaan ke-5 yang merupakan seorang inspektor polis menyatakan perayu cuba memecut kereta tersebut setelah menyedari polis mengekori kenderaan dari belakang.

“Apabila kereta perayu dikepung dia kelihatan cemas apabila inspektor polis menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” kata Atiqah. – Bernama