• 2025-06-23 01:00 PM

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menjadikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB) berkuat kuasa 1 Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 11 Jun lepas, yang meluluskan cadangan untuk menjadikan CAAM sebagai BBDSB.

“Ini bermaksud badan berkanun ini tidak lagi memerlukan suntikan kewangan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan. Pada masa sama, ia juga tidak tertakluk kepada sistem saraan kerajaan.

“Ia dibebaskan saraan dan diasingkan daripada kerajaan. Jadi, ia akan menjadi satu badan yang bebas dari segi kewangan dan juga saraannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata keputusan itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh institusi penerbangan negara.

“Ia bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang mempunyai sistem kawal selia penerbangan teknikal dan ekonomi yang berwibawa, kompeten dan menepati piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata CAAM mempunyai keupayaan untuk bergerak sebagai BBDSB kerana mencatatkan sejumlah keuntungan menerusi caj tertentu antaranya kepada syarikat penerbangan antarabangsa serta pihak yang menggunakan ruang udara Malaysia.

“Jadi sekarang, anggaran pendapatan kami untuk tahun ini adalah kira-kira RM400 juta. Kami telah mengumpul kira-kira RM150 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Jadi, hasil untuk lima bulan pertama tahun ini telah melebihi keseluruhan tahun lepas.

“Itu telah memberi kami keyakinan bahawa ia akan bebas dari segi kewangan, mampan dari segi kewangan. Itu juga adalah satu daripada syarat penting bagi Kabinet dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk menjadikan CAAM sebagai BBDSB,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata CAAM akan dipertimbangkan sebagai badan berkanun dan diasingkan saraan.