PUTRAJAYA: Cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) agar kadar gaji minimum ditetapkan pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan secara menyeluruh.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata secara dasarnya jelas bahawa pendekatan kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup ialah memberi tumpuan kepada pendapatan rakyat.

“...cuma kita melihat secara menyeluruh, kita tahu dari segi kerangka ada gaji minimum, ini untuk sekumpulan pekerja. Kita juga akan memulakan projek rintis gaji progresif, gaji untuk kakitangan awam telah pun diumumkan oleh kerajaan.

“Berbanding dengan semua pentadbiran sebelum ini, pandangan saya dari segi tumpuan kepada gaji, pentadbiran sekarang adalah yang paling fokus kepada soal gaji.

“Tetapi ini perlu disusun dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk dari segi pekerja, majikan, kemampuan kerajaan dan kemampuan ekonomi untuk menyerap sebarang keputusan dengan berkaitan gaji,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran rancangan realiti television INNOVATHON musim kedua, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan perbincangan berkenaan gaji minimum termasuk prosesnya itu adalah tanggungjawab Majlis Perundingan Gaji Negara bagi menilai kedudukan gaji minimum.

Katanya proses itu berterusan dan Kementerian Sumber Manusia akan membawa untuk pertimbangan kerajaan mengikut proses dalam akta apabila tiba masanya.

Pada 8 Mei lepas, laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’, UNICEF mendedahkan penetapan kadar gaji pada RM2,102 mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.