• 2025-07-14 01:43 PM

KANGAR: Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) telah mengemukakan cadangan semakan kadar tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), bagi menangani cabaran perkhidmatan bekalan air di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata semakan tarif diperlukan, untuk meningkatkan aktiviti penyelenggaraan aset uzur serta membaiki infrastruktur paip dan sistem agihan air usang yang mempunyai kadar kebocoran serta kehilangan air tinggi.

Selain itu, pelarasan tarif air juga penting untuk keperluan membayar kos kerja menaik taraf loji rawatan serta pinjaman dan hutang terdahulu yang belum selesai.

“Pelarasan tarif ini dijangka akan dapat menjamin kemampanan bekalan air jangka panjang, memastikan sistem bekalan air kekal cekap, selamat dan berterusan serta meningkatkan daya tahan sistem bekalan air di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan SPAN masih meneliti dan belum memuktamadkan permohonan pelarasan tarif air bagi menyemak semula kadar tarif perkhidmatan bekalan air daripada operator perkhidmatan di 10 negeri bawah seliaannya termasuk Perlis.

Izizam berkata SAP mengemukakan cadangan untuk menyemak semula kadar tarif air itu kepada SPAN selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA), dengan SPAN adalah pihak berkuasa mengawal selia industri air termasuk berkaitan tarif yang sesuai untuk semua operator air.

Beliau berkata kerajaan negeri percaya pendekatan telus, inklusif dan berdasarkan data sebenar yang diperhalusi SPAN selaku badan kawal selia akan memperkukuh sistem bekalan air negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan.

“Keputusan rasmi mengenai pelaksanaan pelarasan tarif akan dimaklumkan setelah mendapat hasil pertimbangan daripada SPAN dan kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat tidak diabaikan dan bekalan lebih sempurna disediakan SAP,” katanya - BERNAMA