• 2025-07-14 06:19 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil dua saksi baharu esok bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga e-Hati yang didakwa mengandungi unsur lucah dan penyebaran fahaman meragukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Setakat ini, saya boleh maklumkan siasatan telah dimulakan dan kita harap saksi-saksi ini akan hadir esok,“ katanya selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mohd Na’im berkata dua wanita yang merupakan saksi awal telah membuat aduan kepada Bahagian Penyelidikan JAIS sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh Bahagian Penguatkuasaan, kedua-dua pengadu ini dilihat agak keberatan untuk tampil dan memberikan maklumat kepada pihak JAIS,“ jelasnya.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama saksi bagi memastikan siasatan berjalan lancar.

“Amat penting untuk pihak-pihak yang menjadi saksi tampil ke depan bagi membantu Bahagian Penguatkuasaan JAIS menjalankan siasatan secara profesional, supaya tiada mana-mana pihak yang dizalimi,“ katanya.

JAIS turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti kes tersebut dari sudut undang-undang sivil.

Mohd Na’im menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Isu ini timbul selepas seorang pengguna media sosial mendedahkan program e-Hati yang dikendalikan sepasang suami isteri didakwa mengandungi aktiviti tidak senonoh.

Antara dakwaan termasuk tarian bogel, pemberian air misteri, dan upacara ‘mandi suci’ yang menyerupai ritual keagamaan lain. – Bernama