KENINGAU: Kementerian Komunikasi menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya terus bekerjasama dalam pelaksanaan Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, terutamanya mengenai isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kempen ini penting untuk mendidik pelajar sekolah rendah dan menengah tentang penggunaan internet yang selamat.
Kandungan program disesuaikan mengikut peringkat umur, dengan aktiviti interaktif untuk murid tahap satu dan dua, serta topik lebih mendalam untuk pelajar sekolah menengah.
“Kita minta kerjasama KPM supaya kempen ini boleh dijalankan di sekolah. Murid sekolah rendah mungkin lebih terdedah kepada isu seperti buli siber, manakala pelajar menengah perlu dididik tentang penipuan dan eksploitasi dalam talian,“ katanya selepas program di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.
Kempen yang dilancarkan pada 21 Januari lalu mensasarkan lebih 10,000 institusi pendidikan menjelang akhir tahun ini.
Sebanyak 344 sekolah di seluruh negara, termasuk 64 di Sabah, akan menyertai program ini dari Mei hingga Ogos.
Setakat 1 Julai, seramai 31,246 peserta termasuk pelajar, guru, dan ibu bapa telah terlibat.
Selain sekolah, kempen ini turut mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membangunkan modul pendidikan yang menarik.
Dalam perkembangan lain, Teo turut menghadiri Program Sentuhan Komuniti Mukim Luagan anjuran Pertubuhan Pelangi Harapan Sabah.
Program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Keningau dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
“Kesedaran kesihatan penting, terutamanya menjelang status negara menua pada 2030. Inisiatif seperti ini memastikan tiada rakyat tercicir,“ ujarnya.
Pengerusi Pertubuhan Pelangi Harapan Grelydia Gillod berkata usaha ini membantu kerajaan menyampaikan maklumat tentang inisiatif Kerajaan MADANI kepada komuniti setempat.
Beliau berharap lebih banyak agensi kerajaan akan menyertai program seumpamanya pada masa depan. – Bernama