• 2025-09-24 04:46 PM

PETALING JAYA: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou membuktikan jiwa besarnya dengan kesediaan berdamai bersama Majlis Paralimpik Malaysia berhubung isu ganjaran Sukan Paralimpik 2024.

Liek Hou mengakui beliau terbuka untuk berjumpa dengan MPM bagi memulihkan hubungan dan meredakan ketegangan yang memberi kesan kepada mentalnya.

Beliau menyatakan kesediaannya untuk mengalu-alukan sebarang pertemuan yang dianjurkan oleh MPM bagi menyelesaikan isu tersebut.

Pemenang pingat emas dua kali perseorangan lelaki SU5 itu mengakui MPM setakat ini belum menghubunginya untuk meminta penjelasan berkenaan kontroversi di media sosial.

Pemain berusia 38 tahun itu sebelum ini mendakwa MPM gagal melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas kemenangannya di Paris.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada tahun lepas memaklumkan ganjaran RM60,000 bagi setiap atlet emas disumbangkan tiga syarikat luar.

Isu kelewatan pembayaran itu membawa kepada pertikaian terbuka sehingga MPM mempertimbangkan tindakan undang-undang dan penggantungan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana tuntutan Liek Hou bukanlah pelanggaran disiplin.

Liek Hou menganggap polemik tersebut sudah selesai setelah menerima baki ganjaran RM35,000 daripada 99 Speed Mart Sdn Bhd semalam.

Beliau sebelum ini telah menerima RM25,000 daripada MPM melengkapkan jumlah RM60,000 yang dijanjikan.

Liek Hou kini mahu memfokuskan diri kepada latihan untuk kejohanan akan datang demi mengharumkan nama negara.

Pemain nombor satu dunia itu juga menerima ganjaran tambahan bernilai RM35,000 daripada syarikat pemaju Faire Development.

Beliau bersyukur dengan sumbangan khas Faire Development yang merupakan syarikat pertama menghubunginya selepas isu ganjaran.

Pengarah Urusan Faire Development Kenneth Lim berkata pihaknya berbesar hati dapat menghargai keringat Liek Hou. – Bernama