• 2025-07-23 04:40 PM

NEW YORK: Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong, menegaskan bahawa amalan perlindungan dan tindakan sepihak seperti pengenaan tarif tambahan semakin mengancam pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Beliau menggesa pembatalan semua bentuk tindakan paksaan sepihak yang menghalang negara membangun mencapai kemajuan sosioekonomi.

Fu menyampaikan kenyataan itu mewakili 83 negara anggota Kumpulan Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI) semasa debat umum Forum Politik Peringkat Tinggi SDG (HLPF) 2025.

Beliau berkata, “Pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 kini terbantut dan menghadapi kekurangan modal yang serius.”

Duta China itu turut menyeru masyarakat antarabangsa mempertahankan multilateralisme, memperkukuh kerjasama, dan membaiki tadbir urus ekonomi global.

“Pembangunan perlu menjadi teras agenda PBB, manakala manfaat bersama harus diutamakan dalam menangani cabaran global,“ katanya. - Bernama, CMG