SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang memuktamadkan proses penyaluran dana sebanyak RM50 juta bagi penubuhan Dana Perkhidmatan Pos.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan dana pendahuluan yang akan diselia Pos Malaysia Berhad itu disediakan bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan perkhidmatan di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan Dana Perkhidmatan Pos merupakan inisiatif strategik bagi menyokong transformasi sektor pos agar kekal relevan mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi dan e-dagang.
Fahmi menekankan dana ini akan disalur dan dirangkum sekali dengan perkhidmatan kurier untuk memastikan tunjang perkhidmatan Pos Malaysia kekal kukuh menghadapi cabaran masa depan.
Kami percaya inisiatif ini akan membantu Pos Malaysia seiring komitmen dan usaha berterusan mereka dalam mentransformasi industri dan perkhidmatan penghantaran.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Malaysia 2025 di Pusat Mel Nasional.
Fahmi menyatakan Dana Perkhidmatan Pos bertujuan mengekalkan penyediaan perkhidmatan pos asas kepada rakyat tanpa sebarang gangguan selaras dengan keperluan Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Transformasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia sejak tahun 2021 menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan prestasi penghantaran sehari untuk bungkusan meningkat kepada lebih 90%.
Pos Malaysia juga merekodkan pencapaian 93% penghantaran mel tepat pada masanya dengan kadar kepuasan pelanggan sebanyak 91% berbanding purata industri 82%.
Pos Malaysia telah melangkah ke fasa baharu transformasi dengan melaksanakan beberapa ujian model perniagaan baharu atau pembuktian konsep bermula suku keempat tahun ini.
Langkah ini merupakan usaha syarikat untuk menangani cabaran struktur termasuk kemerosotan jumlah mel penurunan kunjungan pelanggan ke pejabat pos dan persaingan sengit dalam pasaran bungkusan.
Kami berharap transformasi ini membawa manfaat bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada kakitangan dan semua pelanggan.
Mengenai pelancaran Redly Pos Malaysia International Fahmi berkata pelancaran jenama antarabangsa baharu itu akan memastikan semua perkhidmatan penghantaran dan pos antarabangsa disatukan di bawah identiti tunggal.
Inisiatif itu akan menghubungkan pelanggan dan perniagaan Malaysia dengan dunia sekali gus membawa peluang global lebih dekat kepada rakyat.
Pada majlis itu Fahmi turut meluangkan masa meninjau operasi pusat mel sambil beramah mesra dengan kakitangan yang bertugas. – Bernama