KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024 dan RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan)(Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024, masing-masing di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran ketika menggulung perbahasan RUU Profesion Undang-Undang berkata pindaan subseksyen 77(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) akan membolehkan Majlis Peguam menangani serta menyelia pelbagai isu dialami peguam muda dan pelatih sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata ini termasuk elaun atau gaji rendah dan tidak munasabah, kekurangan pampasan bagi kerja lebih masa serta bayaran ganti dilewatkan bagi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk perjalanan berkaitan kerja.

“Justeru, pindaan ini akan menambah baik keadaan kerja sekali gus mewujudkan pengaturan dan amalan yang lebih saksama bagi pihak majikan, peguam serta pelatih dalam kamar,“ katanya.

RUU itu antara lain bertujuan meluaskan kuasa Majlis Peguam dalam membuat kaedah kawal selia fi, gaji dan elaun kepada peguam bela dan peguam cara serta pelatih.

Bagi RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, Kulasegaran berkata ia bertujuan mewajibkan Pemegang Amanah kepada amanah nyata untuk menyimpan maklumat pemunya benefisial serta memastikan ketersediaan maklumat yang tepat, terkini dan kebolehan pendedahan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa yang berwibawa.

Beliau berkata RUU Pemegang Amanah (Pemerbadanan)(Pindaan) 2024 pula memberi kuasa kepada Menteri meluluskan pemerbadanan pemegang amanah dan mengawal entiti yang diperbadankan di bawah Seksyen baharu 2A namun kuasa itu adalah terhad.

“Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Menteri boleh menggunakan mekanisme semakan kehakiman kerana kuasa Menteri hanya bertujuan pemantauan dan pengawasan agar tidak berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan harta amanah dan bukan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.