KUALA KRAI: Bagi pengunjung yang pernah singgah di Kampung Pemberian, di sini, apabila berbual dengan warga emas di penempatan itu mereka pasti dapat mengesan ada dialek unik yang pastinya bukan loghat Kelantan.
Seorang penduduk Hashim Hassan, 75, berkata generasi pertama Kampung Pemberian berasal dari Kuala Sat, Ulu Tembeling, Pahang masih bertutur dalam dialek Ulu Tembeling.
Menurut Hashim, pengunjung jangan pelik sekiranya mendengar perkataan yang tidak digunakan penduduk Kelantan ketika berbual dengan sebahagian penduduk kampung itu.
“Owng mari sini, kamboi pintu? bermaksud “awak datang ke sini, tutup pintu atau tidak? “owng’ bermaksud awak, manakala komboi pula bermaksud tutup.
“Antara ayat lain, “Aku gi cari pucuk paku tadi, ‘menghepa’ dalam semok” yang bermaksud ‘saya pergi mencari pucuk paku-pakis, terpaksa redah hutan’, menghepa maknanya redah,“ katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Hashim yang mesra disapa Pakda berkata selain masih mengekalkan dialek Ulu Tembeling dalam perbualan, rata-rata penduduk juga mewarisi bakat memasak hidangan tradisi Pahang iaitu gulai asam rong (disebut Qhom).
Pakda berkata bahan utama untuk membuat masakan eksotik itu ialah buah perah.
“Namun sekiranya tersalah proses (buah perah), ia boleh beracun, sebaliknya jika betul buatannya, ia boleh disimpan tiga hingga empat tahun,“ katanya.
Seorang wanita, Zaini Mat Husin, 67, yang mahir memasak gulai asam rong berkata memandangkan buah perah sukar didapati kerana berbuah secara bermusim, penduduk menyediakan pes rong untuk memasak gulai asam yang dipadankan dengan ikan sungai seperti ikan kenerak dan baung.
“Proses menyediakan pes ini bermula dengan buah dijemur hingga kering, kemudian kulitnya perlu dibuang dan ambil isi sahaja, jemurkan semula, selepas itu ia ditumbuk, diarung hingga keluar minyak dan dijadikan pes qhom,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Ahmad Shargowi Derahman berkata pihak muzium pernah dimaklumkan mengenai sejarah asal Kampung Pemberian yang didakwa dibuka kerana penghijrahan keluarga terdekat dan pengikut pahlawan Mat Kilau.
“Setelah dimaklumkan semula oleh Bernama, kami akan mengambil langkah segera dengan menghantar Pegawai Penyelidik Muzium ke lokasi yang dimaksudkan untuk membuat penyelidikan,“ katanya.–Bernama