SHAH ALAM: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan dalam dua kejadian berasingan melibatkan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang di Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar menyatakan dalam kejadian pertama di Jalan Paip, Klang, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera di kepala dan menerima tiga jahitan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.43 malam sebelum tiba di lokasi lapan minit kemudian dengan kekuatan lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar.
“Kanak-kanak itu bersama ibunya, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun, sedang memandu di jalan tersebut sebelum kenderaan mereka dihempap pokok tumbang.
Wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan.
“Kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok telah selesai dijalankan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang pemandu lori berusia 35 tahun mengalami cedera ringan selepas lori dipandunya di Jalan Kapar-Kuala Selangor turut dihempap pokok tumbang.
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya tiba di lokasi pada 11.04 malam dan mendapati mangsa terperangkap di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota BBP Kuala Selangor.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama