KOTA BHARU: Dua pekerja kedai emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik gambar iklan perasmian kedai emas oleh Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra di aplikasi Facebook tanpa kebenaran.
Aznizan Yusof, 46, dan Nor Asri Che Husin, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Kampung Pasir Kota, di sini, pada 6.55 petang 16 Okt lepas.
Mereka didakwa memuat naik gambar iklan perasmian kedai emas A&K Gold and Jewelleries oleh Tengku Bendahara Kelantan di perkhidmatan aplikasi Facebook tanpa kebenaran dengan niat menyakiti dan juga mengganggu Institusi Kesultanan Kelantan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohd Bakri manakala Aznizan dan Nor Asri diwakili peguam Saiful Adli.
Sementara itu, Saiful memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dibenarkan jaminan kurang daripada RM10,000 atas alasan kes itu boleh dijamin.
Peguam itu berkata anak guamnya baru seminggu membuka kedai berkenaan.
“Mereka dijanji oleh seseorang untuk membawa Tengku Bendahara pada perasmian kedai emas, namun kesilapan beliau apabila mula memuat naik poster dalam Facebook dan poster itu di screenshot (tangkap layar),” katanya.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Nov untuk sebutan semula kes. - Bernama