SEPANG: Dua individu yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman mengesahkan bahawa siasatan kes tersebut telah selesai.
“Suspek lelaki didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek wanita didakwa di bawah Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dua lagi suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan.
Kes ini diselesaikan dalam tempoh 48 jam selepas penahanan empat individu, termasuk teman lelaki kepada rakan serumah mangsa.
Mangsa, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dari Sarawak, ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya pada 10 pagi, 24 Jun.
Mangsa dilaporkan tinggal bersendirian selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun. – Bernama