GEORGE TOWN: Dua individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar dan melempar mercun ke sebuah restoran hingga menyebabkan kerosakan minggu lepas.
Khoo Teng Chi, 32, dan Joanne Lim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan iaitu mercun dengan cara membakar dan melemparkannya ke premis milik seorang wanita hingga menyebabkan kerosakan dengan jumlah kerugian RM34,800.
Khoo dan Lim didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Pahang di sini, pada 5.19 pagi 23 Julai lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam Muhammad Zulzarif Mohd Zakwan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohonan jaminan RM5,000 untuk anak guamnya dengan alasan Khoo bekerja sebagai pelayan di kedai kopi dengan pendapatan RM1,800 manakala Lim membantu ibunya berniaga di kedai tomyam dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan 2 Sept untuk sebulan semula kes - BERNAMA