SUNGAI PETANI: Dua lagi lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes serangan terhadap seorang pengawal keselamatan di Bedong pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kedua-dua suspek itu ditahan petang semalam dan malam tadi di sekitar kawasan Bedong dekat sini.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 20 Ogos ... tangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan ialah empat orang.

“Sementara itu, bagi kes membabitkan kematian seorang pekerja kedai cuci kereta yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ... tiada tangkapan baharu ... kekal enam suspek,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Town Hall Discussion Kontinjen Kedah 2024 di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata siasatan yang dijalankan mendapati kejadian serangan itu bermotifkan dendam peribadi antara kesemua suspek dengan kedua-dua mangsa.

“Pengawal keselamatan yang sebelum ini cedera parah dalam kejadian itu kini dilaporkan stabil,“ katanya.

Dalam kejadian antara 1.50 hingga 2 pagi Khamis di kawasan berhampiran Kampung Toh Pawang, Bedong itu, seorang pekerja cuci kereta maut, manakala seorang pengawal keselamatan cedera parah selepas diserang sekumpulan individu bermotosikal dan bersenjatakan parang.