KOTA BHARU: Dua lelaki yang terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Thailand telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran 4,000 pil kuda.
Operasi membanteras dadah itu dijalankan di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand pada awal pagi tadi.
Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 1 pagi dalam operasi yang diketuai oleh dua pegawai dari Pejabat Daerah Sungai Golok.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata kesemua pil kuda yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di sekitar Sungai Golok dan diseludup masuk ke Malaysia.
“Kedua-dua suspek disiasat atas tuduhan bersubahat dalam pengedaran dadah Kategori 1 dengan niat untuk menjual serta mengedarkan.
“Suspek warga Malaysia itu juga akan didakwa kerana memasuki dan tinggal di Thailand tanpa kebenaran.
“Operasi ini dijalankan sebagai langkah pencegahan, pemulihan dan penghapusan masalah dadah di daerah berkenaan, selaras dengan dasar kerajaan Thailand bagi mewujudkan komuniti bebas dadah di bawah slogan ‘No Drugs No Dealers’,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Prachaviwat, Sungai Golok.
Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, harga sebiji pil kuda atau “Yaba” di Thailand adalah sekitar 30 baht.
Apabila diseludup ke Malaysia, harganya boleh mencecah antara RM8 hingga RM10 sebiji. – Bernama