• 2025-07-22 02:31 PM

IPOH: Dua lelaki mengalami kerugian besar mencecah RM474,212.58 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan ‘phone scam’. Kes ini dilaporkan kepada polis pada Ahad lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, mangsa pertama, seorang penyelia tapak berusia 61 tahun, kehilangan RM307,315 selepas terpengaruh dengan iklan pelaburan “KKR Investment” di Facebook. Iklan tersebut menjanjikan pulangan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh singkat.

“Penyelia itu membuat 14 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari April hingga Julai lepas sebelum menyedari penipuan apabila diminta membayar lagi untuk pengeluaran keuntungan,“ jelas Abang Zainal Abidin.

Mangsa kedua, bekas pekerja kilang berusia 56 tahun, kehilangan RM166,897.58 selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Pemanggil mendakwa nombor telefon mangsa terlibat dengan pinjaman ‘ah long’ dan menyarankan dia membuat laporan polis. Mangsa kemudian disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang menyuruhnya memindahkan wang KWSP ke akaun syarikat atas alasan siasatan,“ katanya.

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan berisiko tinggi dan tidak mudah percaya panggilan mencurigakan. - Bernama