• 2025-07-29 05:33 PM

GEORGE TOWN: Dua pegawai Jabatan Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang atas disyaki penglibatan dalam kegiatan salah laku counter-setting di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Menurut kenyataan SPRM, penahanan itu dibuat selepas maklumat risikan mengesan kegiatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah membabitkan kemasukan warga asing tanpa prosedur sah.

“Counter-setting ini melibatkan kemasukan warga asing ke Malaysia dan membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai Imigresen yang terlibat, yang secara sengaja membenarkan kemasukan warga asing tersebut masuk ke dalam negara tanpa melalui proses tapisan dan pemeriksaan Imigresen yang ditetapkan,“ menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pegawai ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009. Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti jaringan dan modus operandi sepenuhnya.

SPRM menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa, terutamanya dalam sektor penguatkuasaan berkaitan keselamatan negara. - Bernama