PUTRAJAYA: Dua pengarah syarikat dan seorang pegawai agensi sebuah kementerian direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit rasuah dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Kesemua individu berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu direman empat hari sehingga Ahad ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini.
Mengikut sumber, ketiga-tiga lelaki itu disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat-syarikat ini dipercayai telah bersekongkol dengan pegawai-pegawai daripada agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran sebanyak RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan menjalani Pemeriksaan Awalan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),“ kata sumber.
Semalam, ketiga-tiga lelaki itu bersama lima lagi individu telah ditahan dalam Op Loader yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Melaka dan Lembah Klang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.