• 2025-07-07 08:37 PM

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 bernilai RM1.18 bilion hari ini.

RUU ini dibentangkan oleh Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bagi memastikan kelancaran operasi pentadbiran kerajaan negeri sehingga akhir tahun sebelum pembubaran DUN Sabah ke-16 pada November nanti.

Peruntukan tambahan ini dibahagikan kepada enam kategori perbelanjaan, termasuk RM600 juta untuk Caruman Kepada Kumpulan Wang Berkanun, RM204 juta untuk perbelanjaan pentadbiran, dan RM195 juta untuk perbelanjaan operasi.

Selain itu, RM84 juta diperuntukkan untuk pemberian dalam negeri, RM54.4 juta untuk pelaburan, dan RM50.7 juta untuk peruntukan khas.

Masidi menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan menerima peruntukan tambahan terbesar iaitu RM789.1 juta, dengan RM600 juta diperuntukkan untuk Kumpulan Wang Berkanun.

Daripada jumlah itu, RM250 juta digunakan untuk mengurangkan defisit Akaun Pembangunan. Peruntukan lain termasuk RM185.5 juta untuk perkhidmatan am perbendaharaan dan RM150 juta untuk penyelenggaraan jalan raya di seluruh Sabah.

“RM200 juta lagi diperuntukkan untuk Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri, termasuk program bantuan seperti SENTOSA, SUBFLY, dan SUKSES, serta pembaikan infrastruktur asas,“ jelas Masidi.

Perbelanjaan pembangunan turut memerlukan peruntukan tambahan melebihi RM416 juta, melibatkan 83 kepala perbelanjaan di bawah 10 kementerian.

Kementerian Kerja Raya Sabah menerima agihan terbesar iaitu RM254.9 juta, diikuti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan RM82.5 juta.

Persidangan DUN Sabah akan bersambung esok. - Bernama