PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan kelewatan tidak wajar oleh seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu untuk seorang kanak-kanak.
Menurut kenyataan EAIC, kelewatan tersebut menunjukkan kegagalan melaksanakan tugas dengan sewajarnya, termasuk mengambil masa terlalu lama untuk memulakan siasatan serta ketidakcekapan dalam pengurusan kes.
“Tindakan ini tidak selaras dengan Kod Etika JPN yang menetapkan komitmen tinggi dan kesediaan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab serta gigih dalam tempoh masa ditetapkan,“ menurut kenyataan itu.
EAIC memutuskan untuk merujuk kes ini kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN dengan syor hukuman di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, susulan kesalahan kurang cekap seperti diperuntukkan dalam Peraturan 4(2)(e).
Selain tindakan tatatertib, EAIC turut mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan, termasuk mengemas kini prosedur kerja dan memperbaiki SOP bagi memastikan tempoh masa yang mencukupi diberikan kepada pegawai penyiasat.
EAIC juga mencadangkan penubuhan pasukan ‘Flying Squad’ di Ibu Pejabat JPN Putrajaya untuk mengenal pasti punca kes tertunggak, sama ada berpunca daripada sikap pegawai atau faktor lain yang menyebabkan kegagalan mematuhi prosedur.
Aduan awal diterima EAIC terhadap pegawai JPN Sabah yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya dalam permohonan kad pengenalan baharu. Siasatan dijalankan berdasarkan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.