PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan wujudnya pemalsuan dokumen dan pelanggaran prosedur dalam pengurusan vesel Zon B di Jabatan Perikanan (DOF) Pontian, Johor. Siasatan mendapati permohonan pindah pangkalan, ubah suai enjin, dan pindah milik lesen tidak mematuhi dasar yang ditetapkan.
Menurut kenyataan EAIC, “Terdapat tindakan pemalsuan dokumen oleh pihak berkaitan dalam permohonan terbabit semasa siasatan dijalankan.” Kelulusan yang diberikan turut melibatkan pegawai DOF Klang, yang merupakan pangkalan asal vesel tersebut.
EAIC memutuskan untuk merujuk kes ini kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan syor tindakan diambil di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Kesalahan yang dikenal pasti termasuk kurang cekap, tidak jujur, dan cuai dalam melaksanakan tugas.
Selain itu, EAIC mengesyorkan laporan polis dibuat berikutan penemuan unsur jenayah. “Pemalsuan ini turut melibatkan beberapa pegawai DOF yang disyaki bersubahat dalam menyokong permohonan palsu,“ jelas kenyataan itu.
Bagi kes DOF Tanjung Sedili, Johor, EAIC mendapati pegawai DOF mengarahkan pemasangan semula plat timah pada vesel Zon C yang dibuka tanpa kebenaran. Walaupun melanggar pekeliling, tindakan tersebut tidak dilakukan dengan niat jahat. - Bernama