SEGAMAT: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan sebanyak 405 hektar tanah dalam wilayah berkenaan untuk dibangunkan sebagai kawasan inisiatif pendapatan rakyat (IPR) dengan mengusahakan tanaman cili fertigasi.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata tanaman yang akan diusahakan di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor (Mersing dan Segamat) itu melibatkan kerjasama Kementerian Ekonomi, pejabat daerah, jabatan pertanian serta pihak swasta, dengan Segamat merupakan projek rintis membabitkan keluasan dua hektar tanah.
Beliau berkata bermula Oktober lepas, tanaman fertigasi menggunakan aplikasi teknologi pintar (IoT) dan bertujuan membantu golongan B40 itu melibatkan 12 peserta, dengan masing-masing kini mampu menjana pendapatan hingga RM2,000 sebulan.
“Selepas kejayaan projek rintis ini (di Segamat), kita laksanakannya di tempat lain iaitu bermula di Bachok, Kelantan pada Januari lepas, selain dirancang di Pekan, Pahang pada Mac depan.
“Untuk tahun ini sahaja kita merancang membuka kira-kita 0.5 hektar bagi projek IPR dan Johor ini sendiri kita telah dalam proses untuk mencari kira-kira 12 hektar lagi kawasan,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Tuaian Cili Pertama Projek Kecil Berimpak Tinggi ECERDC di Grasicili Farm Sdn Bhd di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata tanaman cili berkenaan merangkumi 20,000 pokok dengan hasil pertamanya hampir 40 tan.
Beliau berkata melalui program itu, peserta juga diberikan bimbingan dan pendedahan berkaitan teknologi pertanian serta mengembangkan teknologi baharu dalam pertanian.
“Kita juga merancang untuk menambah lagi kawasan tanaman ini (cili) di Johor bertujuan menampung keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import cili, memandangkan kini kira-kira 30 peratus sahaja keluaran cili tempatan dalam pasaran,” katanya.
Seorang peserta tanaman, Mohd Fazil Sukor, 36, berkata dia bersyukur dipilih mengusahakan tanaman cili fertigasi itu selama lima tahun dengan anggaran tuaian dua kali setahun.
“Sebelum ini saya ada menanam cili ini secara kecil-kecilan di pinggir bandar Segamat, namun projek berkenaan telah terhenti akibat banjir. Kali ini saya bersyukur kawasan ini berada di kawasan tanah tinggi yang tidak berisiko dinaiki air,” katanya. - Bernama