• 2025-07-30 06:54 PM

MELAKA: Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap bekas isterinya bulan lepas.

Muhamad Akmal Helmi Mat Sirat, 35, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu Masura Mustafa, 40, menggunakan aplikasi Facebook masing-masing pada 30 Jun, 3 dan 4 Julai di Taman Bukit Piatu Mutiara.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan Muhamad Akmal Helmi tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak mampu membayar jaminan berkenaan.

Hakim Haderiah Siri membenarkan Muhamad Akmal Helmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pula, Muhamad Akmal Helmi minta dibicarakan atas pertuduhan berulang kali mengikuti, menjejaki serta menakut-nakutkan Masura sehingga mangsa berasa risau dan cemas di Hospital Putra Melaka serta sebuah kedai perabot di Taman Bukit Piatu Mutiara, masing-masing pada 7 dan 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 507(A) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhamad Akmal Helmi turut berdepan pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah menerusi aplikasi Facebook yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasi Masura di Taman Bukit Piatu Mutiara pada 10 malam 4 Julai lepas mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis seminggu sekali.

Peguam Haziq Aizuddin Subhi memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah atas alasan dia hanya bekerja sebagai ejen insurans dan tidak berpendapatan tetap.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes. - Bernama