• 2025-08-03 02:40 PM

SINGAPURA: Penerjun negara Elvis Priestly Clement menamatkan kempen di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 selepas tersingkir di peringkat separuh akhir acara 10 meter (m) platform lelaki. Anak kelahiran Sarawak itu menduduki tangga ke-16 dengan 399.80 mata selepas enam terjunan di Pusat Akuatik OCBC.

Hanya 12 peserta terbaik daripada 18 layak ke pusingan akhir. Elvis, 18 tahun, sebelum ini mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat ke-10 dalam pusingan awal semalam dengan 432.90 mata. Ini merupakan penampilan sulungnya di kejohanan dunia, di mana beliau turut menyertai acara campuran 3m & 10m berpasukan, 10m seirama campuran, dan 10m seirama lelaki.

Sementara itu, perenang kebangsaan Tan Khai Xin gagal melangkah ke pusingan akhir acara 400m medley lelaki. Beliau mencatat kedudukan ke-29 keseluruhan dengan masa 4 minit 30.90 saat, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya iaitu 4:23.24.

Kejohanan Akuatik Dunia 2025 berakhir hari ini selepas 24 hari pertandingan merangkumi polo air, terjun, renang, dan acara perairan terbuka. - Bernama