BUTTERWORTH: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang di hadapan Jalan Perak Duck, Jalan Raja Uda pada 8.35 malam, 16 Mei lepas.
K. Ravindran, 28; D. Sathea, 32; Muhammad Ilyas Kalairasan Abdullah, 33, dan B. Thanabala Singam, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Ravindran dan Sathea didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah menyebabkan cedera parah ke atas Ooi Jing Wei, 36, dengan menggunakan parang, manakala Muhammad Ilyas Kalairasan dan Thanabala Singam didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu.
Pertuduhan terhadap Ravindran dan Sathea dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala Muhammad Ilyas Kalairasan dan Thanabala Singam didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan serta memohon syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Y. Yogeswaran yang mewakili keempat-empat tertuduh merayu agar ditawarkan jaminan munasabah kerana kesemua mereka menanggung ahli keluarga, sementara Muhammad Ilyas Kalairasan akan berkahwin pada minggu depan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dan bersetuju dengan syarat tambahan pihak pendakwaan sebelum menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes.