• 2025-10-11 04:52 PM

SUNGAI PETANI: Semua pihak diminta menghentikan penyebaran rakaman kes salah laku seksual yang membabitkan pelajar sekolah di Melaka kerana melibatkan individu bawah umur.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan kementeriannya telah memohon kerjasama kementerian berkaitan untuk bertindak segera menghalang penularan isu tersebut.

“Kita sudah minta kementerian berkaitan untuk ambil tindakan bagi memastikan isu ini tidak terus disebarkan kerana ia melibatkan murid sekolah.”

“Masyarakat juga perlu ada kefahaman bahawa kes ini melibatkan anak-anak di bawah umur yang mesti dilindungi,” katanya selepas majlis penyerahan projek Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baharu Sungai Lalang.

Empat pelajar lelaki berusia 17 tahun disyaki melakukan kesalahan seksual terhadap pelajar perempuan tingkatan tiga di sekolah Alor Gajah pada 2 Oktober.

Mangsa kini sedang mendapatkan sokongan psikososial dan masih menerima rawatan di hospital.

Fadhlina mengarahkan pengarah pendidikan negeri mengambil tindakan segera memberikan sokongan kepada pelajar dan meningkatkan keselamatan sekolah.

Warga sekolah termasuk guru dan pelajar akan diberikan sokongan psikososial memandangkan kes tersebut telah tular.

Sekolah perlu menumpukan perhatian penuh kepada isu keselamatan terutama ketika menghadapi peperiksaan.

Siasatan dalaman akan dijalankan di peringkat Kementerian Pendidikan untuk meneliti keseluruhan aspek kes tersebut.

Fadhlina akan turun ke Melaka esok untuk menangani isu ini dengan segera. – Bernama