• 2025-09-16 03:15 PM

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai delegasi rasmi Malaysia dalam lawatan kerja ke China dari 16 hingga 23 September.

Fadillah akan menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 di Nanning, Guangxi, platform perdagangan dan pelaburan serantau berprestij yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan China.

Penyertaan Malaysia dalam CAEXPO 2025 akan memperkukuh peranan negara sebagai penyelaras hubungan Dialog ASEAN-China (2024-2027) serta membuka ruang baharu kerjasama dalam pelaburan strategik dan pembangunan infrastruktur serantau.

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan Naib Perdana Menteri China Liu Guozhong yang menyelia Kementerian Sumber Air.

Pertemuan itu akan menumpukan kepada kerjasama strategik dalam pengurusan air termasuk pertukaran teknologi dan pembangunan kapasiti.

Lawatan rasmi itu merangkumi Beijing dan Chongqing dengan tumpuan terhadap tenaga boleh baharu, sistem storan tenaga dan teknologi nuklear generasi baharu.

Fokus lain termasuk pendekatan pengurusan air inovatif seperti model Sponge City untuk mitigasi banjir dan adaptasi perubahan iklim.

Lawatan ini juga memberi penekanan terhadap sistem air pulih sebagai sumber alternatif industri serta pembangunan loji bawah tanah.

Malaysia berhasrat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China bagi memperkukuh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Transformasi Air 2040 (AIR 2040).

Lawatan ini berpotensi menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor tenaga bersih dan teknologi hijau serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, lawatan ini melambangkan usaha Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam kerangka kerjasama ASEAN-China.

Malaysia kekal sebagai rakan strategik yang proaktif, inklusif dan berdaya tahan di peringkat serantau dan global. – Bernama