KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil sedang berusaha menempatkan mangsa kebakaran di Pantai Dalam ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik DBKL sebagai penempatan sementara.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menyatakan perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.
“Di pusat pemindahan sementara (PPS) terdapat 14 keluarga, manakala beberapa keluarga lain memilih tinggal bersama ahli keluarga,“ katanya.
Proses pemindahan masih menunggu kelulusan bagi memastikan mangsa mendapat tempat lebih selesa.
Bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah, kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIWP telah dijalankan untuk menyediakan keperluan sekolah.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri program ‘Daughter of Penang, Daughter of Palestine’ di The Chow Kit Hotel.
Kebakaran pada Jumaat lepas memusnahkan 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan 80 peratus kawasan perumahan dan kedai musnah dalam kejadian itu.
Mangsa kini ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi. - Bernama