• 2025-10-16 09:35 PM

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Petronas Jalan Lintas Kepayan hari ini.

Tinjauan itu bertujuan menilai kestabilan sambungan Internet yang menjadi tunjang kepada sistem tersebut.

Beliau turut mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai BUDI95.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop turut hadir sama.

Kementerian Komunikasi melalui J-KOM akan terus memantau pelaksanaan sistem berkenaan bagi memastikan penyampaian maklumat yang jelas dan inklusif.

Mereka juga akan menggerakkan penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BUDI95 yang disokong oleh sambungan Internet yang stabil telah menunjukkan prestasi yang baik sejak dilaksanakan secara menyeluruh pada 30 September lepas.

Sambungan Internet yang stabil dan pantas memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan serta pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan efisien.

Sistem BUDI95 menunjukkan prestasi yang stabil dengan keupayaan memproses puluhan ribu transaksi setiap minit.

Ini membuktikan keberkesanannya sebagai asas kukuh kepada pelaksanaan subsidi yang lebih tepat, cekap dan adil. – Bernama