KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menganjurkan taklimat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia untuk berkongsi 12 inisiatif utama bagi tahun kepengerusian ASEAN Malaysia kepada lebih 40 organisasi perniagaan.
Antara perkongsian tersebut termasuklah Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) - inisiatif utama oleh ASEAN-BAC Malaysia - yang mencadangkan agar negara anggota ASEAN menawarkan fleksibiliti operasi kepada syarikat berpangkalan di ASEAN, khususnya mengenai pergerakan bakat, modal dan penyumberan luar.
Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata perlu ada kategori perniagaan untuk ASEAN, selain tempatan dan asing, supaya syarikat yang bertapak di pasaran ASEAN dapat beroperasi dengan mudah dan mengelak cabaran pemecahan yang dihadapi perniagaan yang cuba berkembang di rantau ini.
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata perniagaan adalah rakan penting dalam membentuk masa depan ASEAN.
“Kami menyedari akan kepentingan kritikal kerjasama serantau dan sumbangan penting sektor swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan integrasi yang lebih mendalam di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Sesi libat urus itu disertai peneraju industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari pelbagai sektor di seluruh Malaysia, termasuk automotif, pemprosesan makanan, aluminium, plastik, sarung tangan getah, tekstil, besi dan keluli, bahan kimia dan penghantaran barang.
Para peserta membangkitkan pelbagai isu di ASEAN antara lainnya seperti halangan bukan tarif, kurangnya piawaian yang diselaraskan, sekatan pegangan saham asing dan percambahan piawaian baharu.
ASEAN-BAC Malaysia menyatakan komitmennya untuk membawa isu-isu ini semasa dialog dasarnya di peringkat serantau apabila mengadakan perundingan sebagai mewakili sektor swasta ASEAN pada 2025.