• 2025-07-18 08:51 PM
Fokus utama sidang Dewan Rakyat: Pembentangan RMK13

SUNGAI PETANI: Sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini hingga 28 Ogos depan dijangka berlarutan hingga malam dengan tumpuan utama pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pihaknya telah menerima pelbagai usul daripada Ahli Parlimen dan menjangkakan sesi kali ini akan sibuk dengan pelbagai urusan.

Johari menyeru rakyat supaya memberikan maklumat kepada wakil mereka sebelum RMK13 dibentangkan.

“Rakyat di bawah, sementara dia dengar ucapan di Parlimen itu dia mesti ‘tag’ terus kepada Ahli Parlimen mereka supaya suara mereka didengari...jangan lepas Ahli Parlimen balik ke kawasan baru nak mengadu,“ katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa sidang kali ini akan berjalan lebih lama, bermula pada pukul 10 pagi dan mungkin berakhir sekitar 10 atau 11 malam.

Selain itu, Johari menekankan kepentingan RMK13 dalam menonjolkan kedudukan Malaysia yang stabil di tengah ketidaktentuan global, terutamanya selaras dengan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Di samping itu, beliau menggalakkan masyarakat memanfaatkan perkhidmatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup.

NADI bukan sekadar menyediakan akses digital tetapi juga berfungsi sebagai pusat sehenti untuk peluang perniagaan dan pembelajaran.

NADI Taman Pekan Baru, yang mula beroperasi pada 9 Februari lalu, merupakan salah satu daripada empat pusat baharu di Kedah di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI. - Bernama