TAIPING: Sekiranya gejala rasuah dan amalan tidak berintegriti tidak dibendung, ia akan memberi kesan buruk kepada jentera pentadbiran organisasi, sekali gus menjejaskan imej, persepsi dan kepercayaan orang ramai.

Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Mustafa Kamal Ahmad berkata gejala rasuah perlu dibanteras kerana ia boleh membuatkan sesebuah negara terjerumus dalam dengan keberhutangan serius, malah boleh mengancam keselamatan seterusnya menggadai kedaulatan bangsa dan negara.

“Pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam merupakan asas dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat. Nilai didikan integriti yang akan menjadi benteng dan menghalang segala tipu daya yang boleh menjerumuskan kita ke kancah perbuatan yang tidak bermoral,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan korporat Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir di Dewan Perbandaran Taiping di sini hari ini.-Bernama