SUBANG: Seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bersama peralatan SAR termasuk dua unit trak lima tan dan sebuah pacuan empat roda, berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di sini masing-masing pada 9.30 pagi dan 10 pagi.
Pasukan yang diketuai komander kontinjen Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (13) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (21).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata misi pasukan itu dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 14 hari, bergantung kepada keperluan dan situasi semasa.
“Atas rasa kemanusiaan dan setia kawan antara anggota negara ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 amat simpati dengan apa berlaku di Myanmar dan ambil tindakan segera dengan atur gerak pasukan SMART.
“Pasukan ini juga turut membawa peralatan perubatan dan kita berharap bantuan ini dapat mempercepatkan operasi SAR di kawasan bencana bersama pasukan penyelamat antarabangsa dari negara lain,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan pasukan SMART di sini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus, Komander SMART PgKB 1 Mohd Khairul Jamil dan Duta Besar Myanmar ke Malaysia Aung Soe Win.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata perbincangan dengan pihak kedutaan negara itu serta koordinasi bersama NADMA dan Wisma Putra akan diadakan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah jumlah kekuatan pasukan SMART.
Beliau berkata buat masa ini tumpuan bantuan SAR Malaysia adalah di Myanmar susulan kesan bencana yang kritikal di negara itu berbanding di Thailand.
Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan imbuhan khas sempena Aidilfitri kepada petugas SMART terlibat, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara Asia Tenggara itu pada Jumaat, dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.
Sehingga semalam, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.