PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet memuji gencatan senjata antara negaranya dan Thailand sebagai “keputusan bijak” hasil rundingan damai di Putrajaya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas inisiatif menganjurkan pertemuan tersebut.
Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja berjaya mencapai persetujuan untuk menghentikan pertempuran bermula tengah malam Isnin.
Langkah ini diharap dapat meredakan ketegangan di sempadan serta memulihkan keamanan.
“Satu keputusan mesyuarat yang bijak, dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengambil inisiatif menyelaras dan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ini,“ kata Manet menerusi hantaran di Facebook selepas kembali dari Malaysia.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa gencatan senjata ini menjadi asas penting untuk membina kepercayaan antara kedua-dua negara.
Pertemuan itu merupakan kali pertama Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai berbincang sejak ketegangan tercetus pada 24 Julai lalu.
Konflik bersenjata di sempadan utara Kemboja telah menyebabkan lebih 80,000 orang dipindahkan dan 13 nyawa terkorban.
Manet turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Kerajaan China atas sokongan mereka dalam usaha ke arah keamanan. - Bernama