PASIR SALAK: Pusat GiatMARA Pasir Salak akan dipindahkan ke lokasi baharu di kawasan bengkel kejuruteraan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Ulu Dedap.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemindahan itu memandangkan pusat tersebut kini masih menyewa di bangunan lama di Pulau Tiga, Kampung Gajah.
“Saya bersetuju untuk memindahkan GiatMARA Pasir Salak ke kawasan baharu dengan (menawarkan) kursus-kursus yang baik dan relevan mengikut permintaan pasaran termasuk kursus baik pulih mesin pertanian,“ katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Kampung Gajah Khairul Azwan Harun.
Ahmad Zahid turut menyatakan MARA akan mengusahakan peruntukan untuk pembinaan bangunan perniagaan komersial di Changkat Lada, Seberang Perak.
“Begitu juga ada permintaan pembinaan kompleks sukan, untuk permulaan saya bersetuju supaya padang bola berpagar dengan rumput sintetik akan saya usahakan,“ katanya. - Bernama