• 2025-10-16 08:32 PM

SEPANG: Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 akan tetap hangat meskipun tanpa kehadiran juara dunia tujuh kali MotoGP, Marc Marquez, yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Perlumbaan ini dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif optimis acara ini akan terus menjadi tumpuan penonton. Beliau menyatakan pertarungan merebut gelaran naib juara dunia MotoGP musim ini masih berlangsung dengan sengit.

“Pertarungan bagi merebut tempat kedua masih terbuka... kita ada Pecco (Francesco Bagnaia) dekat situ, Marco Bezzecchi dan Alex Marquez,” katanya pada majlis pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI.

Media melaporkan Marquez terlepas GP Australia dan GP Malaysia selepas mengalami patah tulang serta kecederaan ligamen pada bahu kanan di GP Indonesia.

Pelumba berusia 32 tahun itu telah mengesahkan kejuaraan MotoGP ketujuhnya di GP Jepun bulan lepas dan mengumpul 545 mata setakat ini.

Alex Marquez kini menduduki tempat kedua dengan 362 mata meninggalkan pencabar terdekat Francesco Bagnaia di tempat ketiga dengan 274 mata. Marco Bezzecchi yang mewakili Aprilia Racing berada di kedudukan keempat dengan 254 mata.

Dalam pada itu, pelumba muda berbakat negara Muhammad Hakim Danish Ramli bakal beraksi menerusi tiket wildcard bagi saingan Moto3. Tiket bagi menyaksikan GP Malaysia 2025 masih lagi dijual di www.sepangcircuit.com. – Bernama