MELAKA: Sebuah gudang menyimpan bateri lama di Kawasan Perindustrian Tanjung Minyak terbakar pada tengah hari tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu Ahmad Nyat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.49 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan untuk operasi pemadaman.
Kebakaran melibatkan keluasan 50 x 50 kaki persegi daripada keseluruhan gudang berukuran 150 x 150 kaki persegi dengan anggaran 60% kemusnahan.
Gudang itu sebelum ini telah disita Jabatan Alam Sekitar dan beberapa letupan kecil turut berlaku di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan manakala kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.58 petang dan operasi tamat kira-kira pukul 6.51 petang.
Sebanyak 26 anggota dengan kekuatan lima jentera dikejarkan ke lokasi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Siasatan awal mendapati bahan terbakar ialah bateri yang mengandungi bahan kimia sangat reaktif terhadap air.
Pasukan bomba terpaksa melaksanakan kaedah khas bagi mengelakkan tindak balas berbahaya semasa operasi pemadaman.
Cabaran utama adalah semasa proses ‘overhaul’ kerana dikhuatiri wujud gas berbahaya tidak dikenal pasti.
Pasukan HAZMAT dan CBRNe dikerahkan untuk membantu dengan menggunakan teknologi pengesanan jarak jauh.
Pihak bomba mengesan gas ammonia dan semua anggota diarahkan memakai alat pernafasan semasa operasi. – Bernama