KUALA LUMPUR: Hari Belia Negara yang diraikan hari ini merupakan manifestasi penghargaan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan besar golongan belia dalam pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Ahmad Zahid berkata generasi muda hari ini semakin matang, berilmu serta memiliki daya fikir tinggi dalam mendepani cabaran semasa yang semakin kompleks dan mencabar.

“Atas kesedaran ini, kerajaan terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi meluaskan peluang pembangunan belia termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan, ekonomi hijau dan ekonomi digital, agar anak muda kita bukan sahaja mampu bersaing, malah bersedia memimpin perubahan masa hadapan.

“Saya yakin belia hari ini adalah pencorak masa depan. Teruslah melangkah dengan yakin dan menyumbang dengan semangat yang tinggi kerana masa depan negara ini amat bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan kalian,“ katanya.

Sambutan Hari Belia Negara pada setiap 15 Mei dipenuhi dengan pelbagai pengisian di seluruh negara dan ‘Yakin Boleh’ dipilih sebagai tema sambutan tahun ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi hantaran di Facebook menyeru seluruh belia Malaysia agar terus komited merealisasikan aspirasi diri serta menyumbang ke arah kemajuan negara.

“Anda merupakan tunjang negara, penggerak inovasi dan pemimpin masa depan yang bakal membentuk landskap Malaysia yang lebih sejahtera.

“Marilah kita bersama-sama memperkasa bidang sukan, memupuk perpaduan dan mendukung agenda pembangunan yang mampan. Semangat dinamik dan dedikasi anda adalah asas kejayaan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut merakamkan ucapan bersempena Hari Belia Negara, menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata kekuatan dan keupayaan sesebuah negara sememangnya terletak kepada generasi muda atau belianya.

“Justeru, menyedari hakikat ini, Kerajaan MADANI telah merangka pelbagai inisiatif pemerkasaan golongan belia bagi mempersiapkan mereka sebagai generasi penerus kegemilangan tanah air tercinta ini.

“Kerajaan, melalui segmen undang-undang dan reformasi institusi, juga komited untuk memastikan setiap anak muda diberikan ruang, keadilan dan peluang yang saksama bagi membina Malaysia yang lebih telus, adil dan berintegriti,” katanya.