JELEBU: Seekor harimau kumbang jantan seberat 43 kilogram berjaya ditangkap dalam perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di kawasan kebun durian, Kampung Baru Pertang, Jelebu. Kejadian itu dilaporkan oleh seorang lelaki berusia 58 tahun pada jam 9.30 pagi.
Menurut Pengarah Perhilitan Negeri, Faizal Izham Pikri, perangkap tersebut telah dipasang sejak 1 Julai lalu oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM). “Setibanya di lokasi, kami menemui harimau kumbang jantan yang telah masuk ke dalam perangkap. Pemeriksaan awal menunjukkan haiwan itu mengalami kecederaan dengan kesan darah di bahagian ekor,“ jelasnya.
Harimau kumbang tersebut akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya. Faizal turut menyatakan bahawa pihaknya akan memasang semula perangkap di kawasan berkenaan kerana disyaki masih terdapat individu harimau kumbang lain di situ.