• 2025-07-30 07:49 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menguruskan aktiviti import dan eksport tenaga elektrik serta perdagangan tenaga boleh baharu (TBB), dengan hasil yang diperoleh akan dimasukkan dalam tabung dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dana KWIE yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) akan digunakan untuk menguruskan impak tarif kepada rakyat. Menurutnya hasil kutipan aktiviti perdagangan TBB merentas sempadan akan dimasukkan dalam dana tenaga elektrik hijau yang digunakan untuk menyokong usaha peralihan tenaga serta pembangunan industri TBB negara.

“Secara asasnya semua rakyat Malaysia menerima kebaikan dan keuntungan melalui dana KWIE melalui hasil aktiviti import dan eksport elektrik,“ katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU berkenaan bagi meminda Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh 12 ahli parlimen. Menurut Akmal Nasrullah, aktiviti perdagangan elektrik merentas sempadan yang dilaksanakan kerajaan adalah berdasarkan prinsip penjualan lebihan tenaga.

“Prinsip keutamaan diberikan kepada sistem pembekalan elektrik dalam negara sekiranya berlaku sebarang gangguan atau insiden bekalan elektrik. Langkah ini akan memastikan aktiviti eksport dan import tidak mengganggu pembekalan elektrik di Malaysia,“ katanya.

Terdahulu ketika membentangkan RUU ini untuk bacaan kali kedua, Akmal Nasrullah berkata pindaan yang dicadangkan bertujuan untuk meluaskan ruang lingkup Akta 447 bagi mengawal selia pengimportan dan pengeksportan elektrik. Beliau berkata pindaan terhadap Akta 447 akan memperkukuh kerangka perundangan sedia ada termasuk pelaksanaan inisiatif pembekalan atau penyaluran elektrik merentas sempadan.

Ia juga bertujuan memastikan kestabilan dan meluaskan kaedah pembekalan elektrik di samping memastikan keselamatan sistem grid nasional serta jaminan pembekalan tenaga elektrik.

Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025 bertujuan untuk meminda Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610) susulan cadangan pindaan terhadap Akta 447. Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas oleh empat ahli parlimen. Melalui cadangan pindaan ini, ST akan dipertanggungjawab dengan fungsi pengawalseliaan ke atas aktiviti pengimportan dan pengeksportan elektrik. - Bernama