• 2025-07-31 04:30 PM

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memperkenalkan beberapa reformasi penting dalam sektor perumahan termasuk penubuhan agensi tunggal perumahan negara dan model baharu skim sewa untuk beli (RTO).

Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, agensi tunggal itu akan ditubuhkan melalui rasionalisasi semua agensi perumahan Persekutuan bagi menyelaras penyediaan rumah mampu milik.

“Model baharu skim RTO akan diperkenalkan untuk menyediakan mekanisme sistem sewaan yang lebih fleksibel dan mampu milik.

“Cadangan penubuhan konsortium perumahan bagi memastikan pengurusan skim RTO dilaksanakan dengan lebih cekap dan mampan akan diteroka,“ menurut dokumen itu.

Tiga strategi utama digariskan dalam RMK13 iaitu meningkatkan penyediaan perumahan berkualiti, meningkatkan pemilikan rumah, serta memantapkan kecekapan kawal selia dan pengurusan perumahan.

Sehingga Mac 2025, sebanyak 179,769 unit rumah mampu milik telah siap dibina, mewakili 36 peratus daripada sasaran 500,000 unit dalam RMK12.

Sebanyak 312,591 unit lagi sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sasaran pembinaan sejuta unit rumah mampu milik antara 2026 hingga 2035 melalui kerjasama kerajaan Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.

Dokumen itu juga memaklumkan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) pada Ogos 2024 bagi meningkatkan kualiti dan daya huni perumahan awam. – Bernama