KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh sektor pelancongan menerusi pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ), pemuliharaan aset warisan di ibu negara, serta pengukuhan industri inap desa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor pelancongan kini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan perbelanjaan pelancong asing mencecah RM102.2 bilion pada 2024.
“Inisiatif pembangunan STIZ di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri-negeri lain akan dipergiat bersama pihak swasta dan koperasi,” katanya semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa zon pelaburan ini akan merangsang penciptaan produk pelancongan baharu, termasuk pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf UNESCO.
Anwar turut menekankan Inisiatif Warisan Kuala Lumpur sebagai usaha baharu untuk menjadikan ibu negara lebih menarik bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga kekayaan budayanya.
“Ini termasuk khazanah bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara yang akan dipulihara bagi mengekalkan keunikan sejarah KL,” jelasnya.
Selain itu, industri inap desa akan diperkukuh bagi meluaskan manfaat ekonomi ke kawasan luar bandar.
“Tahun 2026 ialah Tahun Melawat Malaysia, jadi kita perlu tingkatkan usaha melalui kerjasama kementerian, jabatan dan sektor swasta,” ujarnya.
Beliau berharap Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin penting untuk mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16 peratus kepada KDNK sepanjang RMK13. – Bernama