• 2025-10-12 04:51 PM

KOTA TINGGI: Hasrat Fazrizal Izuan Zuhaimi membelikan kelengkapan umrah ibunya tidak kesampaian apabila dia dan dua rakan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru semalam.

Ibunya Maryani Mohd Zaini, 50, berkata Fazrizal Izuan, 20, yang bekerja di Pengerang sejak dua tahun lepas, sepatutnya pulang ke Puncak Alam, Selangor hari ini atau esok untuk membeli barangan tersebut kerana dia akan berangkat ke Makkah pada Rabu depan.

“Dia beritahu mahu beli barangan keperluan umrah dan minta saya tunggu untuk (pergi) membeli bersama-sama. Itu kali terakhir kami berbual,“ katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.

Maryani berkata anak bongsu daripada empat beradik yang mesra dipanggil Boy merupakan seorang yang pendiam namun penyayang, pandai mengambil hati dan sangat bertanggungjawab terhadap keluarga.

Wanita itu berkata kali terakhir mereka bertemu ialah bulan lepas di Damansara, Selangor kerana berlaku kematian ahli keluarga.

Sementara itu, suri rumah Zanaidah Mat Isa, 44, yang kehilangan anak keduanya Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21, atau Angah dalam kemalangan itu, berkata arwah anak yang taat, penyayang dan sentiasa mendengar kata.

Zanaidah berkata anaknya tidak pernah meninggikan suara dan menjadi tempat keluarga bergantung sejak bekerja di RAPID Pengerang setahun lepas.

“Arwah tidak pernah menjawab dan setiap kali saya marah, dia cuma diam sahaja. Kali terakhir kami berhubung dua hari sebelum kemalangan. Saya beritahu motosikal ayahnya banyak perlu dibaiki. Arwah jawab tak mengapa dan dia akan uruskan kemudian,“ katanya.

Zanaidah berkata menyangka arwah hanya cedera semasa dimaklumkan polis pada 3 petang, sebelum panggilan telefon kedua kira-kira 5 petang memaklumkan anaknya meninggal dunia.

“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Kali terakhir semasa arwah balik Perlis pada Hari Raya Aidilfitri, dia minta saya masakkan ayam buttermilk,“ katanya.

Beliau berkata arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakong Behor Mengkuang, Arau, Perlis.

Semalam, polis mengesahkan tiga maut dalam kemalangan membabitkan Volkswagen Golf, Toyota Fortuner dan Honda CR-V di Lebuhraya Senai-Desaru pada 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mereka yang maut ialah pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf dengan dua daripadanya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. – Bernama